22 Januari 2023
Mahasiswa Keadilan Malaysia mengecam tindakan pihak pembangkang dan aktivis mayanya yang masih berdelusional dan mencuba untuk cetuskan huru-hara dalam negara ini.
Tular di media sosial ketika ini satu poster dengan gambar Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dan Istana Negara yang mengandungi mesej berunsur hasutan kepada rakyat untuk turun berhimpun di Istana Negara sempena sesi penyerahan memorandum kepada YDPA pada 23 Januari 2024.
Tindakan segelintir pihak yang cuba untuk mengasak dan menekan institusi diraja dilihat sebagai satu tindakan yang melampau dan terdesak lebih-lebih lagi YDPA ketika ini sudah berada di hujung penggal baginda.
Tindakan mereka menunggang nama YDPA dan Institusi Diraja demi memuaskan nafsu politik mereka adalah sangat tidak wajar dan sangat tidak bertanggungjawab.
Sekiranya pihak pembangkang ingin menguji pengaruh dan kekuatan sokongan yang kononnya dimiliki oleh mereka, mereka sepatutnya hadir ke parlimen dan segera mengusulkan undi tidak percaya kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sekiranya tiada sokongan, pembangkang perlu menelan hakikat bahawa Perikatan Nasional (PN) akan kekal sebagai pembangkang untuk penggal ini serta menjalankan fungsi sebagai pembangkang yang konstruktif.
Kami ingin mengingatkan pihak pembangkang dan aktivis mayanya supaya menerima hakikat bahawa pada hari ini kerajaan perpaduan berada dalam satu kedudukan yang kukuh dan stabil.
Parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini memberikan komitmen tidak berbelah bahagi bahawa mereka akan sedaya upaya mengekalkan kerjasama ini sehingga penggal ini berakhir.
Justeru itu, Mahasiswa Keadilan Malaysia menggesa pihak pembangkang untuk berhenti bermimpi dan tidak meneruskan percubaan mereka untuk mencetuskan menggangu kestabilan dan keharmonian negara ini.
Negara ini perlukan politik yang stabil dalam usaha memulihkan ekonomi negara serta memberi keyakinan kepada pelabur luar.
Mahasiswa Keadilan Malaysia