29 Disember 2023
Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menzahirkan terima kasih kepada pengamal media yang melaporkan kisah pilu Adik Shivaani, seorang pelajar tanpa negara (stateless) yang dinafikan hak untuk bersekolah. MKM berharap dengan adanya laporan sebegini, masyarakat awam dan pihak berkuasa akan memandang lebih serius terhadap isu pendidikan untuk kanak-kanak tanpa negara.
Sejak tahun 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah pimpinan Dr Maszlee Malik telah lama mengamalkan ‘Zero Reject Policy’, yakni pihak sekolah akan mengambil pelajar tanpa negara yang salah seorang ibu bapanya adalah warganegara Malaysia. Dalam situasi sebegini, MKM difahamkan bahawa bapa Adik Shivaani adalah seorang warganegara Malaysia.
Kami juga dimaklumkan terdapat lebih lagi kes sebegini yang ditemui. Menurut jangkaan beberapa NGO lapangan, jumlah orang tanpa negara di Malaysia telah mencecah seramai sejuta orang. Namun, berapa ramaikah di antara mereka yang dapat akses pendidikan selayaknya?
Tuntasnya, MKM berharap KPM dibawah Kerajaan Madani akan menegaskan 'Zero Reject Policy' dengan memberi peluang pendidikan kepada Adik Shivaani dan kanak-kanak tanpa negara lain tanpa sebarang prejudis.
Kita harus tegakkan prinsip keadilan sosial dan menoktahkan kesengsaraan kehidupan kanak-kanak tanpa negara seperti Adik Shivaani.
MAHASISWA KEADILAN MALAYSIA