13 Januari 2024 (Sabtu)
Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) bersolidariti bersama-sama mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyambut Menteri Pendidikan Tinggi, YBM Datuk Seri Zambry Abd Kadir dengan laungan “Kami Belum Mandi”, ketika beliau mengadakan lawatan ke universiti itu pada 8 Januari 2024 (Isnin).
Bekalan air perlu disalurkan segera kepada mahasiswa di UMS dengan secepat mungkin. Agak janggal dan tidak masuk dek akal apabila Malaysia mampu membina banyak bangunan pencakar langit di ibu kota, akan tetapi hak mahasiswa di universiti untuk mendapat keperluan paling asas terus-menerus dinafikan.
Isu bekalan air di UMS ini dihangatkan lagi dengan tindakan salah seorang calon pilihanraya kampus UMS yang menjanjikan manifesto untuk mengagihkan deodoran kepada pelajar yang mempunyai masalah bau badan. Hal ini mencerminkan keseriusan masalah bekalan air yang dihadapi oleh mahasiswa di UMS.
MKM juga ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas keprihatinan terhadap kesulitan yang dihadapi oleh mahasiswa UMS. Beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 Juta untuk menangani isu air sejurus beliau dimaklumkan tentang masalah ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga baru-baru ini turut menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mengatasi isu bekalan air yang dihadapi oleh mahasiswa.
Mengikut sumber dari Sabah Media, gangguan bekalan air UMS berpunca dari kecurian air, setinggan haram dan pengubahan paip air utama. Seperti yang dibentangkan oleh YBM KPT semalam di program Landasan Hala Tuju KPT, isu air ini jatuh di “quadrant” pertama iaitu, “important and urgent”. Oleh itu, kami mendesak supaya pihak pentadbiran UMS mamastikan kontraktor yang terlibat berpegang pada janji untuk menyiapkan projek ini pada bulan Mac 2024.
Sekiranya projek ini tidak disiapkan pada bulan Mac 2024, MKM berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat pihak yang terlibat, dan mengheret mereka yang mengkhianati amanah dan tanggungjawab yang diberikan ke mahkamah untuk mendapat pembalasan yang sewajarnya.
Seperti yang kita tahu, mahasiswa telah pun dibebani dengan peperiksaan dan projek tahun akhir. Oleh itu, janganlah kita menambah beban dan menyeksa mereka lagi dengan masalah bekalan air ini. Diharapkan masalah air yang berlarutan ini dapat diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan mahasiswa.
MAHASISWA KEADILAN MALAYSIA