24 Januari 2024
Definisi setia ialah teguh hati (dalam hal persahabatan, bermasyarakat, dan lain-lain) dan tetap hati. Seseorang yang setia itu sanggup berkorban demi orang lain disebabkan perasaan kasih pada dirinya.
Namun, Mahasiswa Keadilan Malaysia berasa agak kecewa apabila kami nampak PAS sebagai antara parti yang ditubuhkan sebelum Malaya dimerdekakan telah khianati kesetiannya kepada Malaysia.
Sejak tahun 80-an, PAS hasil pengaruh revolusi Syiah Iran serta Tauhid Hakimiyyah Syed Quthb dan Mawdudi telah berkempen dengan naratif Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaan penjajah dan undang-undang Malaysia adalah undang-undang kafir melalui Amanat Hadi.
Hal ini jelas menunjukkan PAS telah gagal mengamalkan prinsip ‘Keluhuran Perlembagaan’ seperti yang dinyatakan dalam Rukun Negara.
Selain itu, PAS juga gagal menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada raja dan negara kerana PAS telah banyak kali menghina institusi diraja negara kita.
Pada 29 Julai 2021, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah menitah bahawa baginda amat dukacita dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengelirukan Dewan Rakyat dan Rakyat Malaysia.
Setiausaha Agung PAS tersebut telah membelakangi titah YDPA tentang pembatalan ordinan darurat.
Pada 11 Julai 2023, Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Seri Sanusi Md Noor sewaktu berceramah di Selangor, telah mengeluarkan kenyataan yang biadab dan bersifat hina kepada Sultan Selangor.
Beliau kata: “Sultan hebat macam tu takkan pilih MB cokia macam Amir tu.” Kita semua tahu bahawa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilantik oleh Sultan Selangor, apa motif pemimpin PAS tersebut mengeluarkan kenyataan tersebut?
Sudah terang lagi bersuluh, PAS adalah sebuah parti politik yang tidak setia kepada negara kerana PAS tidak mengamalkan prinsip ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’, seperti yang dinyatakan dalam Rukun Negara. Parti ini hanya memperjuangkan ekstremisme ‘Right-Wing Populist’.
Mahasiswa Keadilan Malaysia