23 Januari 2023
Mahasiswa Keadilan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Tun Mahathir yang mengaitkan masalah mental dengan ekonomi negara. Kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini akan menambahkan stigma rakyat Malaysia terhadap pesakit mental.
Tun Mahathir telah mengaitkan kes pembunuhan dalam bilik air dengan masalah ekonomi negara, padahal kes tersebut adalah jenayah cinta yang melibatkan warga asing.
Tun Mahathir juga telah mengaitkan kes pembunuhan ibu bapa dengan masalah ekonomi negara. Namun, fakta di sebalik pembohongannya adalah pelaku membunuh ibu bapanya akibat penggunaan dadah.
Tun Mahathir juga mengaitkan kes bunuh diri dengan masalah ekonomi negara. Tidak dinafikan faktor ekonomi adalah salah satu pendorong kepada pembunuhan diri, namun sebab utama seseorang membunuh diri adalah kesakitan mental.
Sebagai seorang negarawan, Tun Mahathir seharusnya menyarankan rakyat Malaysia yang berniat membunuh diri untuk menerima rawatan dengan kadar segera, dan bukan menjadikan kes bunuh diri sebagai peluru untuk memuaskan nafsu politik beliau.
Hal ini bukan sahaja akan menambah stigma rakyat Malaysia terhadap pesakit mental, hal ini juga bakal mendorong rakyat Malaysia yang ada masalah mental malu menerima rawatan.
Sebagai seorang negarawan, Tun Mahathir disarankan untuk berfikir sebelum bercakap kerana rakyat Malaysia masih mengiktirafnya sebagai Bapa Pembangunan. Jangan kita bersikap kejam kepada pesakit mental yang sudah dizalimi oleh kesakitannya.
Mahasiswa Keadilan Malaysia